KEUNGGULAN AKHLAK DAN SYARIAT
YANG DIBAWA MUHAMMAD SAW
Khutbah Pertama
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ
لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا
عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى
آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
…أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ
وَلاَتَمُوْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah!
Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan
Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita
sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala
suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Firman Allah dalam ayat 21
surah al-Ahzab :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ
يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا
Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang
terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan
(keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah
sebanyak-banyaknya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kejayaan umat Islam dalam mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat
banyak bergantung kepada kesungguhan mereka dalam mencontohi sistem yang dibawa
oleh nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan. Ketinggian akhlak nabi
Muhammad SAW hanya akan dapat dicontohi oleh mereka yang beriman kepada Allah
dan Hari Akhirat serta dan banyak mengingati Allah. Bagi golongan yang tidak
beriman maka ketinggian akhlak yang ditunjukkan oleh Junjungan Besar kita Nabi
Muhammad SAW hanyalah sekadar catitan sejarah yang dibaca dan dikagumi
semata-mata.
Sidang Jumaat Sekelian,
Syurga Allah bukanlah sesuatu yang terlalu murah untuk diperolehi tanpa ada
sebarang usaha untuk memperolehinya. Nabi Muhammad SAW bukan sahaja mengamalkan
akhlak yang terpuji dalam seluruh kehidupannya malah terpaksa berjuang dengan
air mata dan darah untuk mendapatkan syurga. Seorang wali Allah, Syeikh Ibrahim
bin Adham ketika berhenti di persinggahan untuk ke tandas, lalu dikenakan
bayaran kepadanya, lantas Ibrahim menangis teresak-esak kerana memikirkan
tempat yang sejijik itupun dikenakan bayaran, inikan pula syurga Allah yang
penuh dengan kenikmatan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ
وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu
mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta
mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani."
Musuh Islam sentiasa mencari jalan bagaimana cara untuk menjauhkan umat
Islam sendiri daripada menjadikan nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh teladan
terbaik dalam setiap aspek kehidupan disamping memomokkan kepada dunia dengan
tuduhan liar tentang nabi Muhammad s.a.w yang digambarkan dengan pelbagai
kejahatan. Sebagai contohnya tindakan Majalah mingguan Perancis, Charlie Hebdo
yang membuka lembaran tahun baru 2013 dengan menerbitkan komik biografi Nabi
Muhammad SAW dengan melukis gambar baginda yang mulia. Jika sebelum ini majalah
ini melukis gambar yang menghina nabi Muhammad s.a.w dan kali ini dengan tujuan
memuji nabi namun ia merupakan suatu perbuatan yang haram dan tidak boleh
dibiarkan sama sekali. Sebenarnya musuh Islam tidak mampu menutup sanjungan
kepada nabi Muhammad s.a.w daripada tokoh mereka sendiri seperti tokoh legenda
Perancis yang tersohor, Napoleon Bonapart di mana walaupun dia bukan seorang
Islam, namun dia pernah berkata,
“Saya begitu kagum kepada manusia agung ini. Saya kagum kerana keagungan
akal dan hati nabi Muhammad s.a.w.”
Begitu juga pandangan ikhlas seorang ilmuwan dari Itali, Prof Laura
Vecccia Vaglieri yang lebih terkenal sebagai seorang orientalis banyak
menghasilkan artikel mengenai Islam dengan katanya,
“Semasa menyeru manusia supaya menyembah Allah yang Maha Esa, nabi
Muhammad s.a.w tidak pernah menggunakan pendekatan yang menghalang manusia
daripada berfikir mengenai kebenaran. Beliau tidak menggunakan pendekatan sihir
yang memukau penglihatan, tidak juga menyeru dengan menggunakan ancaman serta
ugutan. Apakah yang beliau lakukan? Beliau menyuruh mereka supaya menggunakan
akal dan bertafakur mengenai kejadian alam dan rahsia kejadiannya. Dalam bahasa
mudah, dia menyuruh manusia membaca ‘Buku Alam’ dan berfikir mengenainya supaya
dengannya manusia yakin ada kewujudan Tuhan.”
Begitulah jujurnya cetusan tokoh Barat itu dalam memperkatakan tentang
keunggulan Rasulullah SAW. Tetapi mengapakah pada masa ini mereka tidak membaca
dan mengambil peduli apa yang tokoh-tokoh mereka pernah katakan itu hinggakan
tercetus Islamofobia dengan sengaja mewujudkan bentuk provokasi sentimen agama
yang sempit dan tidak bertamadun. Masih banyak lagi tokoh-tokoh Barat yang
bukan Islam yang mengakui kelebihan agama Islam dan mereka mengangkat imej Nabi
Muhammad s.a.w di puncak tinta kajian mereka. Michael H Hart seorang sejarawan,
pakar matematik dan ahli astronomi terkemuka di Barat meletakkan nama nabi
Muhammad s.a.w pada kedudukan teratas dalam kalangan 100 orang tokoh yang paling
berpengaruh. Malah Universiti Harvard di Cambridge sebagai institusi pengajian
tinggi paling tua di Amerika Syarikat meletakkan ayat al-Quran di pintu masuk
ke fakulti undang-undangnya iaitu terjemahan ayat 135 Surah An-Nisa :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ
بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّـهِ وَلَوْ عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ
وَالْأَقْرَبِينَ ۚ إِن يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَاللَّـهُ أَوْلَىٰ
بِهِمَا ۖ فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَىٰ أَن تَعْدِلُوا ۚ وَإِن تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا
فَإِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا
Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi
orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang
menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau
ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau
miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan
kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa
kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak
menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun
enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui
dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 1-5 surah ar-Ruum :
الم ﴿١﴾ غُلِبَتِ
الرُّومُ ﴿٢﴾ فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُم مِّن بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ
﴿٣﴾ فِي بِضْعِ سِنِينَ ۗ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِن قَبْلُ وَمِن بَعْدُ ۚ
وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ ﴿٤﴾ بِنَصْرِ اللَّهِ ۚ يَنصُرُ مَن يَشَاءُ
ۖ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ ﴿٥﴾
Alif, Laam, Miim. Orang-orang Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya. Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira. Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
Kehebatan al-Quran sebagai mukjizat terbesar dan kekal di mana banyak menceritakan peristiwa dahulu dan akan datang antara bukti bahawa ia bukan rekaan nabi Muhammad s.a.w sebaliknya merupakan wahyu daripada Allah. Antaranya kisah kemenangan silih berganti antara Rom Kristian dan Parsi Majusi yang benar-benar dilihat berlaku oleh para sahabat. Malah semasa kelahiran nabi Muhammad s.a.w lagi dunia mengalami beberapa peristiwa gempar antaranya runtuhnya beberapa tiang istana kerajaan Rom dan padamnya api penyembahan Majusi kerajaan Parsi seolah-olah petanda awal kedatangan nabi Muhammad s.a.w bakal menjatuhkan 2 empayar besar pada itu iaitu Rom dan Parsi. Ini diikuti dengan sabda nabi dalam hadis riwayat imam Muslim daripada Jabir bin Samurah yang bermaksud : Segolongan orang Islam bakal menguasai harta kekayaan kaum kerabat maharaja Parsi di Abyad. Ia terbukti pada zaman Khalifah Sayyidina Umar melalui panglima tenteranya Saad bin Abi Waqqas pada tahunn 637 Masihi. Begitu juga sabda nabi dalam hadis riwayat imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah yang bermaksud : Kaisar Parsi bakal hancur dan tidak ada kisra selepas itu. Kaisar Rom juga bakal hancur dan tidak ada kaisar selepas itu. Harta-harta rampasan diagihkan pada jalan Allah. Ia terbukti dengan kejatuhan Rom pada zaman Empayar Uthmaniah pada tahun 1453 Masihi dengan kejatuhan kota Istanbul.
Kita pada hari ini sudah tidak dapat melihat mukjizat seperti pembelahan bulan, air yang keluar dari celah jari nabi yang mulia, pokok tamar yang berjalan bila diseru oleh nabi dan banyak lagi mukjizat yang lain namun mukjizat yang paling besar dan berkekalan terus ada pada tangan kita umat akhir zaman iaitu al-Quran yang mulia disamping hadis nabi. Umat Islam dahulu berjaya menguasai dunia kerana berjaya melaksanakan perintah Allah dan rasulNya termasuk menjatuhkan Empayar Rom dan Parsi. Oleh itu tidak menjadi suatu perkara yang mustahil untuk menghancurkan kekejaman zionis yahudi dan seterusnya memerdekakan bumi Palestin dan Masjid Aqsa kerana ia telah dimaklumkan melalui lidah nabi Muhammad s.a.w. Kejayaan dan kegagalan kita bergantung kepada sejauh mana keyakinan dan kesungguhan kita dalam melaksanakan perintah Allah dan rasulNya dalam setiap aspek kehidupan. Jika Islam yang kita pilih maka kejayaan yang kita bakal raih. Jika jahiliah yang kita guna maka kehinaan yang kita bakal terima. Islamlah nescaya kita selamat dan bahagia dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment