PROGRAM KHATAN PERDANA MASJID ASSYAKIRIN BANDAR DAMANSARA KUANTAN 2017
Alhamdulillah, pada tahun ini, pihak AJK Masjid Assyakirin Bandar Damansara Kuantan, telah berjaya menganjurkan Majlis Khatan Perdana buat kali yang ke-2, bertarikh 26 November 2017 pada hari Ahad yang lalu. Majlis yang bermula seawal jam 8.00 pagi menerima pendaftaran seramai 10 orang peserta dari kalangan anak-anak yang berusia dari umur 6 tahun hingga 11 tahun. Diikuti dengan bacaan Tahlil dan Doa Selamat yang diketuai oleh Imam Sazali pada pukul 8.30 pagi. Ucapan perasmian program disampaikan oleh Pengerusi Masjid, Haji Nordin Bin Haion. Sekitar jam 9.00 pagi, pasukan pengkhitan yang dijemput khas dari Hospital Muadzam, Tuan Haji Zakaria B Esa bersama pembantu En Kamaruddin dari Hospital HTAA Kuantan, memulakan kerja-kerja mengkhitan dengan peserta pertama dan kedua dari adik beradik, adik Muhammad Aiman Syabil B Mohd Syukri (8 Tahun) dan adik Muhammad Aidil Syafi B Mohd Syukri (7 Tahun).
Sambil para peserta lain menunggu giliran, mereka ditempatkan di Bilik Mesyuarat KAFA untuk dikuarantinkan agar majlis berjalan lancar dan terkawal. Para ibu bapa dan ahli keluarga yang menemani anak-anak masing-masing juga disediakan makan pagi sambil menunggu giliran.
Majlis diteruskan dengan peserta ketiga, keempat dan kelima yang juga adik beradik iaitu adik Ibrahim Al Adham B Mohd Hatta (9 tahun), adik Muhammad Al Amin B Mohd Hatta (8 tahun), dan adik Luqman Al Hakim B Mohd Hatta (6 tahun).
Majlis diteruskan dengan peserta ke enam sehingga ke sepuluh iaitu adik Ahmad Mukhlis b Harmizi (11 tahun), adik Mohamad Muzammir Bin Mohamad Nasir (10 tahun), adik Muhammad Alif Aiman bin Mazreemi (11 Tahun), adik Tengku Adam Harith B Mohd Hasnul (8 Tahun) dan adik Azhan Azfarin B Haji Asri (8 tahun).
Majlis berakhir sekitar pukul 12.45 tengah hari dengan kesemua sepuluh orang peserta berjaya dikhitankan dengan selamat. Majlis berakhir dengan solat Zuhur dan makan tengah hari bersama pasukan pengkhitan dengan diiringi oleh AJK Masjid, En Rahmad B Md Diah.
Pihak AJK Masjid Assyakirin Bandar Damansara Kuantan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peserta, ibu bapa dan ahli keluarga yang terlibat dalam menjayakan majlis pada kali ini.
Jazakallah
No comments:
Post a Comment