Masjid Negara terletak di Kuala Lumpur, Malaysia. Masjid ini dibina pada tahun 1963 dan dirasmikan pada 27 Ogos 1965.
Masjid ini merupakan lambang keagungan Islam sebagai agama rasmi di
Malaysia dan merupakan simbol bagi Malaysia yang baru dibentuk ketika
itu. Masjid ini juga boleh menampung seramai 15,000 orang jemaah.
Terletak di kawasan strategik Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Masjid Negara terletak bersebelahan Stesen Keretapi Malaysia, Bangunan Daya Bumi, Pos Besar Malaysia, Muzium Kesenian Islam, Taman Burung Kuala Lumpur dan berdekatan Taman Tasik Perdana.
Kawasan Masjid Negara seluas 13 ekar dan bangunan utamanya memenuhi
lebih kurang 3 ekar. Seluruh kawasan masjid di kelilingi sebahagiannya
oleh tembok konkrit dan sebahagiannya lagi oleh pagar berhias. Semuanya
terdapat tujuh buah pintu masuk. Kemudahan untuk pelancong bukan islam
juga disediakan seperti tandas awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang
terletak berdekatan pintu masuk khusus pelancong luar dan dalam negara.
Sebelum terbinanya Masjid Shah Alam,
Masjid Negara merupakan salah sebuah masjid yang paling moden di Asia
Tenggara. Ia terletak di kawasan seluas 13 ekar, bertentangan pula
dengan Perhentian Keretapi Kuala Lumpur. Pembinaan Masjid Negara ini
melambangkan semangat perpaduan dan toleransi.
Reka bentuk dan penyeliaan bangunan ini telah dilakukan oleh pasukan 3
orang arkitek dari Bahagian Reka Bentuk dan Penyelidikan, Jabatan Kerja
Raya Persekutuan - arkitek Hisham Albakri, Howard Ashley (UK), and Dato
Baharuddin Kassim. Mereka mengambil masa selama tiga tahun untuk
menyiapkannya. Sebelum memulakan kerja merekabentuk Masjid Negara ini,
arkitek utamanya, Baharuddin Abu Kassim mengkaji masjid-masjid di India, Pakistan, Iran, Turki, Arab Saudi, Republik Arab Bersatu dan Sepanyol.
Sekali pandang, menaranya berukuran 73 meter (245 kaki) tinggi
kelihatan seperti sebuah roket. Bentuknya seperti sekaki payung yang
kuncup manakala bumbung konkritnya
berbentuk bintang 18 bucu kelihatan seperti sekaki payung yang kembang.
Bentuk menara dan bumbung beropol yang ada pada Masjid Negara
melambangkan kesetiaan. Konsep ini dipadankan kepada rupa payung Diraja.
Menara ini berbentuk gambar payung yang terkuncup manakala bumbungnya
berupa seperti sebuah payung yang terbuka.
Bentuk berlipat atap konkrit utama merupakan penyelesaian kreatif
bagi mencapai ruang yang besar bagi dewan sembahyang. Bangunan berharga
RM10 juta ini meliputi kawasan seluas lima ekar. Ia mengandungi sebuah
dewan sembahyang seluas 22,500 kaki persegi, dewan persidangan,
permakaman, perpustakaan, pejabat, halaman, menara, bilik diraja dan
sebuah bilik imam. Permakaman untuk tujuh pahlawan negara terletak di
bahagian barat. Turut disediakan ialah bilik radio dan televisyen
berhawa dingin yang terletak di galeri dewan sembahyang.
Rekabentuknya selaras dengan rekabentuk bangunan zaman moden tetapi senibina Islam masih dikekalkan. Rupa bentuk masjid ini terhasil dari campuran corak keislaman dan moden serta bersulamkan senibina tempatan.
Bentuk ukiran jerjak besi yang mengelilingi bangunan ini dan dom-dom
kecil yang berada di sebelah atas beranda adalah berasaskan rekabentuk
Sarasin, tetapi ia disesuaikan dengan rekaan moden.
Rujukan : wikipedia
No comments:
Post a Comment